Friday, 11 July 2014

Ramadhan 13: Seseorang Yang Hijau

Hari ini, kembali semula ke hari Jumaat yang indah. Jumaat kedua pada 13 Ramadhan. Selepas membersihkan kipas bilik yang berdebu dan jemur kain buruk di ampaian, aku nampak pokok-pokok bunga mak aku segar hijau. Bila sebut pasal hijau, entri hari ni pasal seseorang yang hijau. Sebenarnya dah lama aku curious dengan orang ni jadi dah tiba masanya untuk bercerita.

Seseorang Yang Hijau: Nabi Khidir a.s

credits:fotografindo.com
Nabi Khidir a.s, seorang nabi bukan rasul yang misteri, seorang ilmuwan, pengembara dan guru yang bijaksana. Latar belakang Nabi Khidir tidak diketahui dan dikatakan Nabi Khidir merupakan sepupu Raja Dzulqarnain dari sebelah ibu. Nama Nabi Khidir diambil dari perkataan Al-Khidr yang bermaksud 'Seseorang Yang Hijau', yang melambangkan kesegaran jiwa, pengetahuan dan kehidupan. Beberapa pendapat menyatakan Khidir itu sekadar nama gelaran, atau julukan. Nabi Khidir mempunyai persamaan dengan tiga orang Nabi dan Rasul yang lain iaitu Nabi Idris a.s (Yitro), Ilyas (Elia) dan Isa (Yesus) kerana keempat-empat mereka diberi usia yang sangat panjang dan ditangguhkan ajalnya. Bezanya, terdapat pendapat mengatakan bahawa Nabi Khidir berada di tingkat kedua kehidupan kerana jasadnya masih di bumi seperti Nabi Ilyas manakala Nabi Idris dan Nabi Isa berada di tingkat ketiga kehidupan kerana jasadnya diangkat ke langit. Cendekiawan Barat memanggil Nabi Khidir sebagai abadi, St. George dan Elia versi Muslim. 

credits:deviantart
Kisah Nabi Musa dengan Nabi Khidir

Keterangan mengenai Nabi Khidir ini ada di dalam surah Al-Kahfi (65-82) iaitu:

Menurut Ibnu Abbas Ubay bin Kaab menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai Nabi Musa yang berdiri di khalayak Bani Israil. Nabi Musa ditanya, siapakah yang paling berilmu? Musa menjawab; "Aku." Kemudian, Allah SWT menegur Nabi Musa dalam firman: "Sesungguhnya di sisiKu ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua lautan dan lebih berilmu daripada kamu."

Apabila mengetahui akan perkara tersebut, Nabi Musa menyatakan keinginan untuk berjumpa dengan orang yang dimaksudkan. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa supaya membawa ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan tersebut hilang, di situlah terletaknya orang tersebut. Nabi Musa membawa pembantunya, Yusya bin Nun lalu mengembara. Mereka tiba di atas sebuah batu dan tiba-tiba ikan terlepas lalu jatuh ke dalam air. Yusya terpegun melihat ikan yang sudah mati kembali hidup semula atas kuasa Tuhan, tetapi Yusya terlupa menceritakan perkara itu pada Musa. Apabila mereka meneruskan perjalanan, barulah Yusya menceritakan perkara tersebut pada Musa dan mereka berpatah balik ke tempat sebelumnya. Di situlah, Nabi Musa a.s memohon untuk belajar dari Nabi Khidir a.s

Susuk yang Hidup Abadi.

credits:nccg.org
Nabi Khidir a.s dilihat sebagai nabi yang misteri kerana mempunyai usia yang panjang dan dipercayai masih hidup sehingga ke hari ini. Keabadian yang dimiliki oleh Nabi Khidir ini dikatakan diperolehi dari nikmat Allah SWT yang memberi Nabi Khidir peluang untuk meminum air kehidupan. Dengan kurnia usia yang begitu panjang, terdapat beberapa hadis yang menerangkan bahawa Nabi Khidir masih hidup iaitu:

1. Ad Daraqathni riwayat dari Ibnu Abbas: "Nabi Khidir dan Nabi Ilyas bertemu setiap tahun masa musim haji dan mereka berdua saling mencukur kepala satu sama lain."  

2. Musnad Abu Usamah menyatakan: "Nabi Khidir di samudera dan Nabi Ilyas di daratan, mereka bertemu tiap-tiap malam di samping tembok yang dibuat DzulQarnain" (4 hadis dari Ibnu Jauzi). 

[Dua hadis di atas dikatakan dhaif dan sanadnya lemah oleh Ibnu Hajar dan Al Hafiz al Munawi tetapi kerana banyaknya riwayat yang dicatatkan dengan lafaz yang berbeza maka hadis ini menjadi hasan (kuat)]

Beberapa ulama yang percaya bahawa Nabi Khidir masih hidup ialah:

1. Sayyidina Ali melihat Nabi Khidir berada di Kaabah.

2. Al Mursyi, murid Syaikh Abul Hasan asy Syadzili pernah didatangi oleh Nabi Khidir dan mereka bersalaman. 

3. Abul Hasan asy Syadzili bertemu dengan Nabi Khidir di Padang Aidzab.

4.  Dari Umar bin Sinan Ibrahim Al Khawwash menceritakan bahawa beliau bertemu dengan Nabi Khidir semasa di dalam perjalanan dan meminta Nabi Khidir menemaninya. Ibrahim berasa khuatir dan terasa seperti tawakalnya terhadap Allah SWT terganggu kerana perasaan nyaman semasa berada di samping Nabi Khidir. Maka, kemudian Ibrahim pun berpisah dengannya.

5. Ahli sufi, juga Raja Balkh iaitu Ibrahim bin Adham dipercayai mendapat keinsafan dari kunjungan Nabi Khidir a.s di istana, muncul dengan susuk tubuh seorang lelaki tua dan berwajah garang.

Perihal Air Kehidupan (Ayn Al Hayat)

credits:wajiran.com
Kisah Nabi Khidir a.s meminum air kehidupan ini dikatakan bermula ketika DzulQarnain mendapat tahu tentang air tersebut dari malaikat Rafa'il, berkenaan dengan Ainul Hayat iaitu air kehidupan yang diciptakan oleh Allah SWT di bumi dan dikatakan terletak di bahagian bumi yang gelap. Jika ada manusia dapat meminum air tersebut, manusia itu tidak akan mati melainkan meminta pada Allah SWT supaya nyawanya diambil. 

Kemudian, Dzulqarnain membawa ramai pengikut untuk mencari air tersebut selepas mendapat nasihat dari para ulama dan Khidir antara orang yang mengikuti pengembaraan tersebut kerana beliau saudara Dzulqarnain, juga memegang jawatan perdana menteri pada masa itu. Apabila mereka sampai di tempat tersebut (12 tahun perjalanan), Dzulqarnain ditemani oleh Khidir menempuh perjalanan 18 hari di dalam kawasan yang gelap. Ketika di dalam kawasan itulah, Khidir mendapat wahyu Allah SWT bahawa air itu terletak di jurang sebelah kanan dan air itu dikhususkan hanya untuknya. Khidir pun memecut kudanya ke tempat yang dimaksudkan lalu meminum air tersebut (yang dikatakan manis seperti madu), mandi dan berwudhu. Setelah selesai, beliau kembali semula pada Dzulqarnain yang tidak tahu apa-apa. 

Pencarian air kehidupan ini adalah satu kisah kuno yang sangat berpengaruh dan sehingga kini menjadi agenda bagi cendekiawan Barat. Beberapa pendapat mengatakan telaga air kehidupan ini berada di titik tengah Segi Tiga Bermuda. Segitiga Bermuda ialah kawasan pertemuan antara suhu panas dan suhu sejuk dan tempat seperti inilah menjadi kegemaran Syaitan menurut riwayat Abu Hurairah dari Nabi SAW. 

Menurut Syaikh M. Ma'rifatullah al-Arsy, Nabi Khidir menjadi penjaga telaga tersebut dan dikatakan di situ tempatnya Imam Mahdi akan keluar pada akhir zaman. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa kawasan segitiga itu menjadi kegemaran Syaitan kerana Syaitan berkawal di sekeliling kawasan tersebut kerana tidak mahu ada manusia lagi yang dapat masuk, meminum air tersebut dan hidup lama seperti Khidir.


Apa-apapun, setiap kejadian ditentukan oleh Allah SWT. Panjang atau pendek usia kita, yang penting amal ibadah dan kebajikan. Jadi, manfaatkan bulan ni dengan baik :)

@themagi2014
ruj: Wikipedia| Alifbraja.blogdetik|Manusianur.com|bambangbelajar.wordpress|
Malaysianreview.co|all-information-here.blogspot

No comments:

Post a Comment