Sunday, 20 July 2014

Ramadhan 22: Jenis-jenis Syaitan

22 Ramadhan, terlambat update entri. Maklumlah, hari Ahad, mode berehat tiba-tiba activated. Memandangkan dah lambat dan mata pun agak mengantuk, hari ni entri simple je tapi penting.

Mari kenali makhluk yang jangan kita dekati, makhluk yang bernama Syaitan.

Jenis-jenis Syaitan

Iblis Laknatullah ialah makhluk Allah SWT yang dicipta daripada api dan pangkatnya dimuliakan. Apabila Iblis diperintahkan untuk sujud pada manusia pertama yang diperbuat daripada tanah iaitu Adam, Iblis enggan berbuat demikian kerana dia merasakan dirinya lebih mulia (kerana dicipta daripada api) manakala Adam hanya dicipta daripada tanah hitam sahaja. Maka, Iblis yang angkuh pun diusir dari syurga, dilaknat dan wajahnya yang bercahaya bertukar menjadi hitam. Iblis bersumpah akan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat.

Maka sebab itulah kita sebaiknya tidak mengikut telunjuk Iblis kerana Iblis sendiri memandang rendah pada kewujudan kita. 

Iblis mempunyai sekutu (jin kafir) dan anak-anak yang ramai (disebut sebagai Syaitan). Setiap daripadanya mempunyai jenis yang tersendiri. Terdapat pelbagai jenis anak Syaitan ditugaskan untuk menjerat manusia dengan cara masing-masing. Menurut Saydina Umar Al Khattab terdapat 9 jenis Syaitan. 9 jenis Syaitan bersama tugas-tugasnya ialah:

1. Murrah

Ditugaskan untuk merosakkan dan melalaikan manusia yang suka mendengar muzik sehingga lupa pada Allah SWT. Manusia yang masuk dalam jerat mereka biasanya tenggelam di dalam kemewahan dan populariti.

2. Masuud

Ditugaskan untuk duduk di bibir manusia dan menghasut manusia agar mengumpat, menabut fitnah, melaga-lagakan manusia, mengadu domba dan apa saja penyakit yang keluar dari mulut.

3. Lakhuus

Ditugaskan untuk menjadi sahabat kepada orang Majusi yang menyembah api dan menetapkan keyakinan mereka agar terus serong dari jalan yang benar. Lakhuus juga pakar dalam menyesatkan akidah manusia melalui berhala, bintang dan lain-lain.

4. Haffaf

Ditugaskan untuk mendampingi manusia yang kaki botol. Menggalakkan kemungkaran, suka mendekatkan diri kepada manusia yang lalai dan merosakkan manusia di tempat-tempat maksiat. 

5. Zalituun

Ditugaskan untuk duduk di pasar/kedai/tempat membeli belah dan menggoda manusia agar berbelanja lebih serta membeli barang-barang yang tidak perlu (sebab itulah pembaziran itu disebut sebagai amalan Syaitan)

6. A'awan

Ditugaskan untuk duduk dekat dengan raja/pemimpin/pemerintah/penguasa agar tidak mendekati rakyat dan menghasut golongan berkenaan agar terus terlena dengan kedudukan, kuasa dan kekayaan yang mereka miliki lalu mengabaikan kebajikan rakyat dan mengabaikan nasihat ulama/cendekiawan/sarjana

7. Wathiin

Ditugaskan untuk menghampiri orang-orang yang diberi ujian musibah agar iman dan hati mereka terpesong dari mengingati Allah SWT.

8. Walahaan

Ditugaskan untuk membisikkan rasa was-was dalam diri manusia ketika berwuduk dan solat serta ibadat-ibadat yang lain agar tidak khusyuk dan keliru.

9. Daasim

Ditugaskan untuk duduk di depan rumah manusia dan menjerat manusia yang melangkah masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam terlebih dahulu. Daasim akan bertindak memporak perandakan orang-orang yang tinggal di dalam rumah tersebut sehingga hilangnya kasih sayang, kebahagiaan, rezeki dan juga segala bentuk kemusnahan emosi dan fizikal.

5 Syaitan Yang Utama

Iblis mempunyai jumlah anak yang sangat ramai dan bertambah selagi dunia belum kiamat. Tetapi Iblis memiliki 5 anak yang utama dan setiap daripada mereka mengetuai bahagian-bahagian khas untuk memantau kerja-kerja mereka agar misi menyesatkan manusia tercapai. 

1. Tsabar/Tsabr

Tsabar mengetuai bahagian Musibah dan ditugaskan untuk mendekati manusia yang diberi ujian, menghasut manusia dan membisikkan permusuhan di hati manusia berkenaan agar benci pada Pencipta. Kemudian, Tsabar akan mengucapkan kata-kata keluh kesah, tidak redha dan caci maki sehingga ia terkeluar dari mulut manusia berkenaan

2. Daasim 

Daasim ialah ketua bahagian pemutus silaturrahim. Seperti yang diterangkan di atas, Daasim ditugaskan untuk merosakkan kebahagiaan manusia dan menggalakkan mereka untuk memutuskan silaturrahim. Dia adalah anak kesayangan Iblis dan suka menggoda, memfitnah dan membuka aib orang lain. Banyak pengguna Internet terkena godaan Daasim pada masa sekarang.

3. Al- A'war

Al- A'war ialah ketua bahagian zina. Dia membantu memperindahkan perempuan yang tidak menutup aurat sehingga menggalakkan maksuat. Al-A'war sangat suka menggoda manusia yang suka berhias diri kerana kerja mereka ialah meruntuhkan akhlak manusia dan menggalakkan perzinaan.

4. Maswath/Miswatsh

Maswath mengetuai bahagian pembohongan, samada bohong kecil atau besar. Maswath ialah Syaitan yang mempunyai kemahiran untuk tampil seperti manusia dan masuk ke dalam pertemuan yang diselenggarakan oleh manusia. Melalui pertemuan seperti itu Maswath akan mereka-reka cerita dan pembohongannya disambung oleh manusia lain sehingga berlanjutan. Golongan yang sering didampingi oleh Maswath ialah tukang tilik, bomoh dan yang sekutu dengannya.

5. Zalnabur

Zalnabur mengetuai bahagian pergaduhan dan pembunuhan. Zalnabur suka berkeliaran di pasar-pasar dan menggoda manusia agar menipu dalam jual beli (menipu timbangan, harga dan sebagainya) dan membangkitkan pertengkaran di antara manusia. Zalnabur akan membisikkan rasa marah pada manusia berkenaan sehingga timbulnya caci maki, perselisihan semasa jual beli lalu membawa kepada pembunuhan.


Syaitan yang Menghalang Solat

Solat adalah senjata untuk melemahkan Syaitan, tetapi terdapat Syaitan yang khusus untuk melakukan tugas menghalang manusia daripada mengingati Allah SWT iaitu:

Khanzab

Syaitan yang bertanggungjawab menghalang manusia daripada bersolat. Khanzab akan menggunakan seluruh cara untuk menjadikan manusia terleka dan lupa mengingati Allah SWT. Khanzab juga akan menghilangkan rasa khusyuk dalam bersolat dan menjadikan solat manusia tidak sempurna.


Syaitan yang Dirantai Ketika Ramadhan

Iblis Laknatullah dan 9 Syaitan yang disebutkan di atas dirantai ketika di dalam bulan Ramadhan. Mereka dicampakkan di dalam lubang paling dalam dan paling gelap. Namun, anak-anak buahnya masih berkeliaran dan berusaha menghasutkan manusia sepanjang bulan puasa. Bezanya, anak-anak buah Iblis hilang arah tuju kerana ketiadaan ketua untuk mengetuai mereka. Ia disokong oleh beberapa hadis seperti:

"Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat" [Hadis riwayat Tirmizi, Nasa'iy, Ibnu Majah, al-Baihaqi]

Para ulama berpendapat 'dirantai' dan 'diikat' itu membawa maksud melemahkan iblis, syaitan dan sekutunya (yang degil) sehingga mereka lemah dan tidak cergas sepanjang bulan puasa.

Dikatakan bahawa pada malam 7 likur/lekor, Iblis dan anak-anaknya akan dilepaskan semula secara berperingkat sehingga menjelang Syawal dan meneruskan pekerjaannya seperti yang diminta pada Allah SWT. 

Kesimpulan?

Semua pekerjaan Iblis dan Syaitan menjurus ke arah kemusnahan anak-anak Adam. Jadi jangan biarkan api terus membakar tanah sebab bila tanah terlalu panas, ia akan menjadi keras dan akhirnya retak. Jangan biarkan diri kita retak disebabkan makhluk ini. Sekian.



p/s: salam Ramadhan dan Lailatul Qadar :-D

@themagi2014
ruj: fuh.my| tasbihfatimah.blogspot| darussalam.net| beritaislam.mywapblog.com|
mizzaiza.com| jsny.blogspot.com| jalanakhirat.wordpress.com| isnadtadawi.my|image credits: dickpurtan.com

No comments:

Post a Comment