Thursday, 24 July 2014

Ramadhan 26: Cerita 10 Malam Terakhir

Selamat petang kepada visitors. Hari ini, Ramadhan 26. Tinggal 3 hari lagi sebelum hari Raya dan kesibukan kemas rumah semakin terasa. Kadang-kadang, kemas rumah sampai larut malam. Bila sebut pasal malam, pernah tak korang alami sesuatu yang menghairankan dalam tempoh 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan? 

Sebenarnya, bila kita terlihat sesuatu yang luar biasa pada 10 malam terakhir, kita tak pasti sama ada kita benar-benar lihat malam Lailatul Qadar, atau ujian iman dari Allah SWT ataupun cuma khayalan semata-mata. Dalam tempoh 10 malam terakhir, apa yang kita lihat mungkin kelihatan biasa tapi bermakna, seram, pelik atau mendebarkan. Hakikatnya, malam Lailatul Qadar boleh dilihat secara nyata atas kehendak Allah SWT kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. 

Biasanya, menurut pengalaman dari manusia lain yang pernah mengalami keanehan pada 10 malam terakhir, mereka akan melihat:

  • cahaya terang memenuhi ruang sehingga ke tempat paling gelap.
  • mendengar ucapan salam.
  • bertemu dengan kejadian yang tidak dijangka.
  • diperlihatkan sesuatu ketika sedang bersujud.
  • mendapat alamat atau petanda melalui mimpi
Sebenarnya, ada banyak jenis pengalaman yang dialami dalam 10 malam terakhir. Bagi sesiapa yang pernah melihat atau merasai sesuatu dalam tempoh 10 hari tersebut, adalah disunatkan untuk menyembunyikan kisah itu dari pengetahuan orang ramai. 

Tapi, ada beberapa kisah yang aku pernah dengar dari ustazah di surau dan orang lain masa kecik-kecik dulu iaitu:

1. Pemuda dan Keranda

Dikisahkan bahawa ada seorang lelaki yang baru balik dari surau selepas terawih dan tadarus (jangan mintak aku sahihkan perkara ni sebab ini cerita dari orang lain). Masa dalam perjalanan balik rumah, lelaki itu terserempak dengan sebuah keranda yang melintang di tengah jalan dan ada jenazah di dalamnya. Lelaki itu tanpa teragak-agak terus duduk di sebelah keranda lalu membaca Fatihah. Selesai membaca Fatihah, lelaki itu bangun dan menyambung perjalanan balik ke rumah. Bila lelaki itu toleh ke belakang, keranda itu menghilang entah ke mana.

2. Perempuan muda dan Lelaki rukuk

Yang ini aku dengar dari orang lain, tak pasti kesahihannya tapi ada pengajaran yang baik. Dikisahkan bahawa ada seorang perempuan muda yang bangun bersahur lebih awal dari ahli keluarga yang lain. Semasa menuju ke dapur, dia ternampak kelibat lelaki sedang rukuk di luar rumah padahal belum masuk waktu Subuh dan tak ada orang yang pernah solat di kawasan ampaian rumahnya sebelum ini. Berdebar dengan apa yang dia lihat, dia pun duduk di dapur sambil tertanya-tanya, apa yang dia lihat sebentar tadi?

3. Lelaki dengan sebuah bakul

Yang ini aku dengar dari orang lain dan aku tak dapat sahihkan cerita ni tapi ada pengajaran yang baik. Dikisahkan ada seorang hamba Allah bermimpi melihat seorang lelaki berdiri di tangga rumah sambil membawa bakul. Wajah lelaki itu bercahaya dan tersenyum penuh pengharapan. Bila hamba Allah itu tersedar dari mimpi, barulah dia ingat lelaki yang datang dalam mimpinya adalah saudara maranya. Lalu disedekahkan doa pada saudara maranya yang sudah meninggal dunia. Menurut surah Al Qadr ayat 4, roh sememangnya turun ke dunia pada 10 malam terakhir bersama malaikat atas izin Allah SWT. Lagu Uji Rashid iaitu Dengan Bismillah pun menyebut perkara yang sama. 

4. Budak Lelaki dan Langit yang terbuka

Yang ini pun aku dengar dari orang lain dan tak pasti akan kesahihannya (dan cerita ni pun kedengaran agak luar biasa) jadi anggaplah kisah ni sebagai pengajaran dari kuasa Yang Maha Pencipta. Dikisahkan ada seorang budak lelaki yang menjaga ternakan berupa kambing. Dikatakan pada malam-malam terakhir pada bulan puasa, dia sering berjaga di kandang (mungkin takut orang curi kambing untuk hari Raya). Dikatakan pada suatu malam dia terlihat ruang langit seakan-akan terbuka dan dalam keadaan keliru dia sendiri tak pasti samada dia berkhayal atau benar-benar melihatnya. Tapi dia menganggap kejadian itu sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.

Sebenarnya ada banyak kisah-kisah yang aneh yang berlaku pada manusia pada 10 malam terakhir. Tapi antara keanehan dan amal ibadat, adalah lebih baik korang beribadat daripada memburu keanehan pada malam Lailatul Qadar. Malah, Nabi SAW sendiri pun lupa (atau dilupakan) pada kejadian malam Lailatul Qadar yang terjadi ke atas diri baginda. Jika korang pernah alami kejadian aneh pada 10 malam terakhir, simpan cerita itu sebagai kisah terbaik yang pernah korang alami. Dan, cerita-cerita di atas hanya sekadar secebis ingatan dari masa silam.



@themagi2014
ruj: alhamidiyah.com| cara.bukaaura.org| iqbalsafwan.com| ikim.gov.my| image credits: favim.com

No comments:

Post a Comment