Monday, 14 July 2014

Ramadhan 16: Seven Sleeping Handsome


credits: kucintaquran.blogspot
Entri ke-16 pada 16 Ramadhan. Pada hari ini juga aku masuk juzuk-16. Dalam juzuk 16, Surah Al-Kahfi ialah surah yang panjang. Jadi aku stop dulu, nanti sambung balik. Tapi, bukan itu yang aku nak cakap. Kisah 7 pemuda yang tidur selama 309 tahun di dalam gua tu yang menarik pada pendapat aku. Kalau di Barat, yang tidur tu Puteri Aurora (Sleeping Beauty) ataupun Puteri Snowhite dengan 7 orang kerdil. 


Menerusi Al-Quran, kisah 7 pemuda yang tidur 3 abad itu tercatat dalam surah yang khusus iaitu Al-Kahfi. Keistimewaan kisah 7 pemuda tersebut terletak pada keimanan mereka dan juga bukti bahawa hidup dan mati di dalam pengetahuan Allah SWT. Kisah ini juga merupakan salah satu contoh 4 ujian yang Allah SWT turunkan kepada umatnya dalam Surah Al Kahfi iaitu:

1. Kisah 7 Pemuda Beriman= Ujian agama
2. Kisah Pemilik Dua Kebun= Ujian Harta dan Anak
3. Kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s= Ujian ilmu
4. Kisah pengembaraan DzulQarnain= Ujian kekuasaan



credits: mughni.blog.student
Ashabul Kahfi

Ashabul Kahfi adalah gelaran 7 pemuda yang ditidurkan di dalam sebuah gua. Ashabul bermaksud ahli dan Kahfi bermaksud gua. Ada beberapa sumber mengatakan bahawa bilangan pemuda itu seramai 3,5,7 atau 8 termasuk seekor anjing. Menurut Ibnu Abbas, pendapat yang paling kuat ialah 7 orang dan yang ke-8 ialah anjing mereka.

6 pemuda beriman  itu dikatakan menteri-menteri yang bekerja dengan Raja Decius (Diqyanus) dari Rom yang datang menjarah Afsus selepas kematian raja asal yang soleh. Kemudian, 6 pemuda itu mendapat hidayah dari Allah SWT lalu bertindak untuk melarikan diri mereka dari Raja Decius yang zalim dan kafir. Akibat tindakan tersebut, Raja Decius mengeluarkan perintah untuk menangkap dan membunuh mereka. 6 pemuda itu kemudian bertemu dengan seorang pengembala kambing bersama anjingnya dan mereka sama-sama melarikan diri lalu bersembunyi di dalam gua dan akhirnya tertidur selama 309 tahun.

kawasan Ashabul Kahfi
credits: ikutsukaaku.blogspot
Mereka bangun semula selepas 309 tahun kemudian selepas pintu gua yang ditutup oleh tentera Rom suatu ketika itu dibuka semula oleh seorang pemilik sapi. Kisah mereka diketahui masyarakat kerana Tamlikha keluar ke pekan membeli makanan menggunakan duit syiling perak 3 abad yang lalu. Setelah mereka mengetahui hakikat bahawa kisah mereka diketahui dua orang penguasa, mereka berdoa meminta nyawa mereka dicabut agar tidak akan ada lagi yang tahu akan kisah tersebut. Maka, mereka bertujuh pun meninggal dunia di dalam gua dan gua itu pun tertutup sehingga tidak ada jalan masuk ke dalamnya.
Dua orang penguasa yang berlainan agama (Nasrani dan Islam) yang mengikuti Tamlikha berasa takjub dengan kejadian tersebut. Penguasa Islam yakin bahawa 7 pemuda itu mati atas nama agama Islam tetapi ditentang oleh penguasa Nasrani. Penguasa Nasrani bertindak membina gereja di atas tapak gua tersebut dan terjadilah perang di antara dua penguasa tersebut. Akhirnya, penguasa Islam memenangi peperangan tersebut seperti yang tercatat dalam Surah Al Kahfi:

"Akhirnya mereka berperang dan penguasa mukmin mengalahkan penguasa kafir, yang dijelaskan Allah SWT: Dan berkata orang-orang yang menang, akan kami jadikan di atas mereka sebuah masjid" [Al Kahfi ayat 21]


Ashabul (Ahli) dan Kahfi (Gua)

Kisah Ashabul Kahfi adalah sebuah kisah benar dan 7 pemuda itu turut dikenali sebagai 7 Peradu. Dikatakan nama 7 pemuda beriman yang tertidur di dalam gua itu ialah:

credits: dzikir99.blogspot

Nama 7 pemuda dan seekor anjing itu juga dieja dengan ejaan berlainan iaitu:
  • Tamlikha
  • Muksalmina
  • Martinus
  • Bairunus
  • Kastunus
  • Danimus
  • Yathbunus
  • Kithmir (seekor anjing yang terpilih masuk syurga)
credits: 9b29smpn1turi.blogspot
Beberapa pendapat dikemukakan berkenaan dengan lokasi gua yang menjadi tempat 7 peradu tersebut. Ada tiga gua yang dikenalpasti menepati ciri-ciri gua yang dimaksudkan:

1. Gua di Ephesus, Anatolia, Turki

Gua di Ephesus ini dilihat menepati ciri-ciri yang digambarkan oleh Al Quran. Kisah Ashabul Kahfi dipercayai berlaku di sekitar gunung yang kini disebut sebagai Gunung Pion. Gua di Gunung Pion dipanggil sebagai Gua 7 Peradu dan kisah itu berlaku lebih 1400 tahun yang lalu sebelum kedatangan Nabi Isa a.s. Peristiwa itu berakhir 309 tahun kemudian pada zaman pemerintahan Maharaja Theodosius II dan menjadi buah mulut masyarakat khususnya penganut Kristian dan umat Islam. Setelah berakhirnya peristiwa tersebut, tapak gua itu dijadikan tapak ibadah orang Kristian untuk beberapa ketika. Kristian dan Islam percaya gua di Ephesus ialah gua yang dimaksudkan.

2. Gua di Damsyik, Syria

Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa gua 7 peradu terletak di Damsyik, Syria. Tetapi tidak dinyatakan samada gua itu menepati ciri-ciri yang dimaksudkan atau tidak.

3. Gua di Ar-Raqim, Amman, Jordan

Prof. Muhammad Taisir Dhabyan dalam buku karangannya, Penemuan Besar Abad ke-20: 7 Peradu, menyatakan bahawa gua yang dimaksudkan terletak di 7 km tenggara bandar baru Amman, Jordan. Nama Ar-Raqim dikatakan berasal dari nama tapak arkeologi Khirbet Ar -Raqim di kawasan tersebut dan nama Ar-Raqim ini merujuk kepada gelaran anjing yang menemani 7 pemuda tersebut, mungkin juga nama sebuah batu bersurat. Nama Ar-Raqim ini disebut di dalam Surah Al Kahfi ayat 9. Ciri-ciri gua di Ar-Raqim ini juga menepati gambaran gua yang dimaksudkan.

Menurut Al-Quran, ciri-ciri gua yang menjadi tempat beradu 7 pemuda beriman tercatat di dalam Surah Al Kahfi (18:17)  dan juga di dalam riwayat Imam Ali r.a melalui sabda Rasulullah SAW iaitu:
  • Cahaya matahari terbit cenderung ke arah sebelah kanan gua.
  • Apabila cahaya matahari terbenam, ia cenderung ke arah sebelah kiri gua.
  • Terdapat satu lapangan di dalam gua tersebut.
  • Di dalam gua itu terdapat beberapa pohon yang berbuah
  • Ada mata air yang bening.
  • Pohon dan mata air itu menjadi kering 309 tahun kemudian.
Menerusi riwayat Imam Ali r.a menerusi sabda Rasulullah SAW, gua tempat persembunyian 7 pemuda itu disebut sebagai Washid atau Khairam dan ia terletak di gunung yang bernama Najlus.


Debat antara Pendeta Yahudi dan Imam Ali bin Abi Thalib r.a

Menerusi riwayat Imam Ali bin Abi Thalib r.a melalui sabda Rasulullah SAW, seorang pendeta Yahudi datang kepada Imam Ali dan bertanya tentang kebenaran agama Islam. Pendeta itu bertanyakan kisah 7 pemuda di dalam gua, nama pemuda-pemuda tersebut, nama raja kafir yang zalim, nama anjing, nama gunung, nama gua, ciri-ciri ruang istana milik raja, perincian mahkota milik raja. Imam Ali menceritakan segalanya dari awal hingga habis dan kemudian Imam Aliberkata: 

"Aku bertanya kepadamu wahai Yahudi, apakah semua itu sesuai dengan yang ada di dalam Taurat kalian?"

Akhirnya, pendeta Yahudi itu akur pada kebenaran agama Islam kerana kisah yang diceritakan oleh Imam Ali tidak berlebihan dan tidak berkurangan serta setiap yang disampaikan adalah tepat. Pendeta itu pun memeluk Islam (baca selanjutnya di Ashabul Kahfi: Seri Kecerdasan Ali bin Abi Thalib)

Kisah 7 pemuda ini sebenarnya lambang teras keimanan dan keyakinan mereka terhadap Yang Maha Esa. Menurut Al Dailamiyy dalam musnadnya dari Anas r.a, surah ini dibawa oleh 70 ribu malaikat ketika diturunkan.


p/s: Bagi aku, nama Seven Sleeping Handsome sesuai untuk mereka sebab pertama, mereka semua ialah lelaki dan kedua, mereka tidur selama 309 tahun. Korang nak argue? Silakan.

@themagi2014
ruj: ms.wikipedia| id.wikipedia|kabarbanjarmasin.com| balaghah.net| addeen.my| lamankongsi.com|dzikir99.blogspot.com| 9b29smpn1turi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment