Thursday, 17 July 2014

Ramadhan 19: The Night of 1000 Months



Ooyeah, hari ini hari Khamis bersamaan dengan 19 Ramadhan. Tak terasa bulan Ramadhan dah nak dekat dengan 10 malam terakhir. 

Entri hari ni tak panjang, sebab entri sebelum ni agak panjang dan sebagai reader kadang-kadang aku sendiri pun malas nak baca entri panjang. Just straight masuk point, lagi senang.



4 orang Bani Israil dan 1000 bulan

Malam 1000 bulan sangat istimewa sebab 10 malam tu ibarat ibadat 83 tahun 4 bulan. Kisah 4 orang Bani Israil yang beribadat kepada Allah SWT selama 80 tahun, tidak ingkar dan tidak derhaka menjadi kekaguman para sahabat Nabi SAW. Kemudian, malaikat Jibril menyampaikan Surah Al-Qadr kepada Nabi SAW dan menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan sesuatu yang lebih baik dari ibadat 80 tahun, yakni malam Lailatul Qadr. 4 lelaki Bani Israil yang dimaksudkan ialah:
  • Nabi Ayub a.s (nabi yang diuji selama 18 tahun dengan penyakit, kehilangan harta benda dan pengabaian dari anak-anak)
  • Nabi Zakaria a.s (diuji menjaga Maryam dan lambat dikurniakan anak)
  • Nabi Zulkifli a.s (nabi yang solat 100 kali sehari dan diuji tahap kemarahannya melalui gangguan Syaitan)
  • Nabi Yusha a.s (nabi yang menyambung usaha Nabi Musa dan menyatukan 12 suku Bani Israil)

Perjuangan Syam'un 1000 bulan

Dari kitab Muqasyafatul Qulub karangan Al Ghazali, diceritakan bahawa Nabi SAW berkumpul bersama para sahabat di bulan Ramadhan. Kemudian, Nabi SAW bercerita tentang seorang Nabi yang bernama Syam'un (Sam'un/ Simson/ Samson) yang diberi mukjizat kekuatan luar biasa dan kekuatan itu menjadi kelebihan untuk menentang penguasa kafir pada masa itu yakni raja Israil. 

Syam'un ternyata terlalu kuat untuk ditumpaskan oleh raja Israil, maka raja Israil menawarkan hadiah emas permata kepada sesiapa yang dapat menumbangkan Syam'un. Dipendekkan cerita, Syam'un menceritakan kepada isterinya bahawa dia boleh dilemahkan dengan mengikat tubuhnya dengan rambut di dagunya sendiri. Kemudian, Syam'un dikhianati oleh isterinya dan Syam'un pun dihantar mengadap raja Israil. Syam'un diseksa, dihina, dibutakan dan menjadi bahan tontonan. Tidak tahan diperlakukan sedemikian, Syam'un memohon pertolongan dari Allah SWT dan doanya dimakbulkan. Atas pertolongan Allah SWT, Syam'un dapat melepaskan diri dengan kekuatan luar biasa lalu merobohkan istana sehingga mengorbankan isteri, raja dan seluruh masyarakat yang menentang kebenaran.

Seterusnya, Syam'un bersumpah untuk terus berjuang menentang kebatilan dan menebus dosa-dosanya tanpa henti selama 1000 bulan lamanya tanpa henti. Begitulah perjuangan Nabi Syam'un a.s, nabi yang menghunus pedangnya tanpa seorang pengikut pun di akhirat kelak tetapi Allah SWT menjanjikan syurga kerana perjuangan fisabilillah yang sangat luar biasa.

Jihad Syam'un yang hebat itu dicemburui oleh para sahabat Nabi, maka Allah SWT mengurniakan malam Lailatul Qadar untuk mereka beribadat sehebat Nabi Syam'un.

Sejarah Usia Manusia Menjadi Pendek

Umat Nabi SAW mempunyai usia yang jauh lebih singkat berbanding umat terdahulu. Umat terdahulu mampu hidup sehingga mencecah ribuan tahun. Nabi Nuh a.s ialah nabi berusia paling panjang menerusi keterangan surah Al Ankabut ayat 14:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka 1000 tahun kurang 50 tahun."

Umat terdahulu diberikan kelebihan berusia panjang dan sepanjang usia itulah mereka beribadat. Tetapi umat Nabi SAW mempunyai usia yang singkat dan tempoh untuk beribadat juga singkat. Semuanya bermula apabila Nabi SAW kagum pada kesungguhan Nabi Syam'un berjuang fisabilillah selama 1000 bulan lalu berdoa pada Allah SWT:

"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit tetapi ganjarannya besar" (dipetik dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas)

Maka doa Nabi SAW dimakbulkan oleh Allah SWT dengan kurnia malam Lailatul Qadar yang tidak diberikan kepada umat terdahulu. Umat Nabi SAW adalah umat paling beruntung kerana tidak perlu hidup lama tetapi amal yang dikerjakan dengan ikhlas pada setiap hari dan setiap malam Lailatul Qadar (yang datang sekali setahun) menyamai orang yang hidup 1000 tahun.


**Kita tak mungkin dapat hidup lama, kita takkan dapat beribadat sehebat Nabi Syam'un dan malam Lailatul Qadar bukannya muncul setiap hari. Jadi, manfaatkanlah usia kita yang pendek untuk menghargai pemberianNya.

@themagi2014
ruj: Islam.gov.my| alhurriyah.lk.ipb.id| bambangbelajar.wordpress| cahayapurnama.com| iluvislam.com| voa-islam.com| Facebook: Di sebalik malam Lailatul Qadar| 
images: completehealthcircle.com

No comments:

Post a Comment