Monday, 7 July 2014

Ramadhan 9: Bila Ajal Kita?

Hari Isnin, 9 Ramadhan. Baru-baru ni kita dengar pemergian Datuk Sharifah Aini yang sudah kembali ke rahmatullah. Betapa kita tak tau bila ajal kita sampai, hari bila, pukul berapa dan bagaimana kita berdepan dengan kematian. Kita tahu bahawa meninggal dunia pada bulan Ramadhan adalah satu keberuntungan dan pasti ada di kalangan kita berharap agar bulan Ramadhan menjadi bulan terakhir kita. Tapi, siapa kita untuk tahu bila ajal kita. Semuanya sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ajal dan Kematian

Kematian itu pasti. Apabila menjelangnya kematian, ada beberapa perkara yang terjadi dan sesetengah di antara kita dapat melihat tanda-tanda yang ada pada si mati. Malah, ada juga di kalangan si mati dapat merasakan sesuatu di dalam rohnya sebelum tiba ajalnya. Umumnya, pada detik berdepan dengan sakratulmaut, mulut si hamba Allah akan terkunci. Kemudian, 4 malaikat datang secara bergantian. Setiap malaikat mengucapkan salam dan memberitahu tugasnya kepada orang tersebut yakni:

1. Malaikat Pertama: "Selama ini aku ditugaskan mengurus rezekimu dan telah kutunaikan dengan baik. Sekarang, sudah tidak kudapatkan rezeki untukmu, baik di belahan bumi timur atau barat."

2. Malaikat Kedua: "Aku diperintahkan mengurus minumanmu dan kini tidak kuperolehi lagi setitik pun air minuman untuk mu."

3. Malaikat Ketiga: "Aku dipercayai untuk mencari dan menyambung nafasmu dan saat ini tidak kutemukan lagi nafas untukmu."

4. Malaikat Keempat: "Ajalmu sepenuhnya diserahkan kepadaku dan sekarang telah habis masanya."

Setelah malaikat keempat pergi, datanglah Malaikat Raqib dan Atid, mengeluarkan lembaran dan menyampaikan berita tentang buku amalan dosa dan pahala secara terperinci. Apabila tiba saat ini, tidak ada jalan lagi untuk berpatah balik dan meminta peluang bertaubat, melainkan bantuan dari sedekah doa-doa, ilmu pengetahuan yang disebarkan dan kebaikan yang pernah dilakukan.

Tanda-tanda Kematian

100 hari: Seluruh badan rasa bergegar.
60 hari: Pusat rasa bergerak-gerak.
40 hari: Daun dengan nama orang yang akan mati di arasy akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang runsing.
7 hari: Mengidam makanan.
5 hari: Anak lidah bergerak-gerak.
3 hari: Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.
2 hari: Seluruh dahi bergerak-gerak.
1 hari: Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu Subuh dan Asar.
Saat Akhir: Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi

Bila Malaikat Mencabut Nyawa

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Apabila telah sampai ajal seseorang itu makan akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datanglah pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke  perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Pada saat nazak orang itu, jika orang itu orang yang beriman, malaikat Jibril akan datang dan menebarkan sayap kanannya lalu memperlihatkan kedudukan orang itu di syurga. Pada masa itu, orang itu lupa pada sekelilingnya dan hanya rindu pada syurga.

Jika orang itu orang yang munafik, malaikat Jibril akan menebarkan sayap kirinya lalu memperlihatkan kedudukan orang itu di neraka. Pada masa itu, orang itu tidak lagi melihat sekeliling kerana terlalu takut pada neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.


p/s: Sesungguhnya, mengingati kematian adalah satu kebaikan dan semoga kebaikan itu tersemat di hati kita. Wallahu'alam.

@themagi2014
ruj: Risalah SMKTAHO Mac/2003


No comments:

Post a Comment