Tuesday, 22 July 2014

Ramadhan 24: Siapa Anjing, Siapa Manusia?

Hari-25, melalui 10 malam terakhir dan terus menghitung sehingga 1 Syawal. Hari ni, entri simple dan tak panjang sebab lambat update lagi. Maklum le, line internet tak clear. Makanya, entri kali ni berkenaan dengan anjing.

Kita pasti pernah dengar orang marah suka sebut, "Anjing betul!" atau "Hanjeng punya orang!". Anjing merupakan kawan baik di Barat tetapi dalam Islam ia dikenali sebagai haiwan najis selain dari khinzir. Tapi itu tak bermakna kita boleh sepak terajang anjing sesuka suki hati kita. Tak gitew, visitor sekalian?

Image result for dogSejarah Anjing Dalam Islam

Memang, anjing ialah makluk yang haram untuk kita sentuh dan jika kita tersentuh kita mestilah kena samak. Tapi hakikatnya, semasa manusia pertama dicipta iaitu Nabi Adam a.s, Iblis berniat untuk merosakkan adunan tanah tersebut dan meludah adunan itu lalu kesan ludahan itu menjadi titik pusar pada manusia. Tindakan Iblis menimbulkan marahNya tetapi belum sampai murka lalu Iblis dihalau keluar dari syurga. Tetapi Iblis berhenti di gerbang syurga lalu meminta bantuan ular untuk masuk semula. Iblis pun bersembunyi di dalam mulut ular dan kemudian berjumpa dengan kuda. Iblis pun menghasut kuda bahawa ciptaan Allah SWT yang baharu iaitu manusia akan memperhambakan kuda dan duduk di punggung kuda sehingga ke akhir zaman. Kuda pun berasa tercabar lalu segera mendekati adunan Nabi Adam a.s yang belum ditiupkan roh ke dalamnya dan cuba menginjak-injak adunan tersebut. Sebelum kuda sempat berbuat demikian, Allah SWT mencubit keluar bahagian adunan Adam yang terkena ludahan Iblis dan ia terpelanting lalu terciptalah anjing. Maka sebab itulah, kalau kita tolong anjing yang lapar atau tercedera, anjing akan patuh pada kita dan kesetiaan anjing terhadap manusia boleh menjadi sangat luar biasa.

Kisah Anjing Dalam Islam

Anjing selalu dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Aku, yang tinggal di kawasan kejiranan bukan Islam masa kecik-kecik dulu, aku sebetulnya tak kisah dengan kehadiran anjing yang merayau di tepi jalan. Kadang-kadang, aku duduk dan bercakap dengan anjing sebab bercakap dengan anjing lagi baik dari bercakap dengan manusia yang berhati busuk. Sebenarnya, bila kita bercakap dengan anjing, mereka beri perhatian pada kita dan aku rasa setiap kali bercakap dengan anjing, aku dihargai. Dan anjing tu pun macam tahu aku tak dapat sentuh dia. Betapa anjing itu bukan ciptaan yang sia-sia, mungkin sebab itu anjing juga mendapat tempat dalam Islam seperti:

  • Kisah Ashabul Kahfi, iaitu kisah 7 orang pemuda beriman bersama anjing mereka bernama Qithmir. Anjing itu telah duduk, menjaga dan tidur bersama mereka di dalam gua selama 3 abad lama. Kesetiaan Qithmir menjadikan ia sebagai anjing yang mendapat jaminan masuk syurga.
  • Kisah seorang pelacur yang menemui anjing kehausan dan hampir mati di padang pasir. Kerana belas kasihan terhadap haiwan tersebut, pelacur itu dengan bersusah payah mencedok air dengan sepatunya dan memberi minum pada anjing berkenaan. Dikisahkan bahawa Allah SWT mengampun seluruh dosa pelacur tersebut kerana kasihnya terhadap makhluk ciptaan Allah SWT.
  • Kisah Abdullah bin Jaafar bin Abi Thalib, dia melihat seorang lelaki di kebun anggur memberi makan pada seekor anjing yang kelaparan. Semua roti milik lelaki berkenaan habis diberikan pada anjing tersebut. Abdullah pun bertanya kenapa lelaki itu tidak makan sedikit roti miliknya? Lelaki itu pun berkata kawasan itu bukanlah kawasan anjing dan jelas sekali anjing itu ialah anjing yang bermusafir. Lelaki itu tahu anjing itu pasti sangat lapar dan dia tidak kisah jika dia berlapar sehingga hari esok. Mendengar kata-kata lelaki itu, Abdullah mempelajari perkara baru lalu dia membeli kebun anggur tersebut dan menyerahkan semuanya pada lelaki itu.
Menjaga anjing bertujuan untuk menjaga haiwan ternakan, berburu atau menjaga harta benda sebenarnya tidak menjejaskan ibadah kita pada Allah SWT. Kesukaran yang dialami ialah untuk membersihkan anjing berkenaan kerana ia najis dan kita mesti samak setiap kali kita bersentuhan dengan anjing. Dalam Islam, membela anjing atas tiga perkara di atas adalah makruh, dan mendapat pahala jika ditinggalkan. Sekalipun kita tidak boleh menyentuh anjing, janganlah kita membenci makhluk berkenaan kerana ada sesuatu yang dapat kita pelajari dari anjing iaitu:
  • Anjing sentiasa berasa lapar; ia mengingatkan kita pada makna ketaatan orang-orang yang soleh yang sentiasa lapar pada harapan dan kerinduan terhadap PenciptaNya.
  • Anjing tidak ada tempat tinggal tetap dan teruskan kehidupan selagi berdaya; ia mengingatkan kita pada sifat tawakal dan yakin bahawa Allah lebih tahu apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita inginkan.
  • Anjing ialah haiwan yang tidur sebentar; ia memperlihatkan kita bahawa orang yang lena nyenyak akan hanyut di dalam mimpi yang tidak pasti dan orang yang sedar akan sekelilingnya akan berusaha mendekatkan diri pada PenciptaNya.
  • Anjing tidak punya harta; ia mengingatkan kita tentang sifat zuhud, berasa cukup pada pemberian Allah SWT tanpa keluh kesah.
  • Anjing tidak akan meninggalkan tuannya; ia mengingatkan kita tentang kesetiaan pada Tuhan yang menjadikan kita dan memelihara kita dari awal kelahiran kita sehingga tiba ajal kita.
  • Anjing redha bila diusir; begitulah makna keredhaan yang benar, kita haruslah redha pada kehendak dan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT.
  • Anjing tidak kisah ditempatkan di mana saja; memperlihatkan pada kita begitulah seharusnya kita tawadhuk dalam kehidupan dan jangan hanya merungut.
  • Jika anjing dipukul sebelum diberikan sesuatu (seperti makanan), ia akan kembali tanpa berdendam; memperlihatkan pada kita makna khusyuk. Sekalipun kita dihimpit masalah atau ditimpa malam, kita kembali semula pada Pencipta dan percaya bahawa pada setiap kesabaran yang pasti ada ganjaran yang menanti.
Pengajarannya? Mungkin kita perlu faham makna 'anjing' sebelum nak jadikan nama anjing sebagai penyedap sumpah seranah. Anjing ialah haiwan, tiada akal, dan kita manusia, ada akal. Kenapa masih ada manusia yang berkelakuan lagi teruk dari haiwan? 

Sesungguhnya, dalam sejarah tamadun dunia, aku tak pernah dengan anjing memerintah dengan kejam, membunuh, memperhambakan manusia, bersikap zalim dan ganas. Semuanya dilakukan oleh manusia. Jadi, mari cerminkan diri kita dan selamat berfikir :-)

@themagi2014
Ruj: Tafsir Al-Jalalain (Mozaik Islam)| zionist-killer.blogspot| themalaysianinsider.com| rumaysho.com| Image credits: en.wikipedia.org/wiki/dog

No comments:

Post a Comment