Friday, 18 July 2014

Ramadhan 20: Pengajaran dari Arrival dan Departure

Jumaat, Ramadhan 20, kita dikejutkan dengan berita nahas pesawat MAS MH17 terhempas di Ukraine. Pesawat awam Boeing 777 itu dikatakan ditembak jatuh dan sekarang dalam proses mendapatkan kotak hitam untuk siasatan selanjutnya. Tak sangka, kes MH370 belum selesai, tiba-tiba kes MH17 muncul. Ya, hari ini kesabaran kita diuji dengan berita seperti ini. Takziah untuk semua keluarga yang terlibat. Semoga tabah menghadapi ujian dari Tuhan.

Sebenarnya, kematian adalah satu ujian besar. Kita kehilangan. Mengatakan sabar kepada orang yang menanggung adalah tak sama dengan orang yang hanya melihat. Ahli sufi Hasan Al-Basri (yang menziarahi Rabiah Adawiyah ketika sakit) pernah mengatakan bahawa:

"Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak tabah menanggung ujian dari Allah SWT."

Kemudian, kata-kata itu dibalas oleh Rabiatul Adawiyah iaitu:

"Seorang manusia tidak dapat dipercaya kata-katanya jika ia tidak lupa kepada ujian dari Allah SWT, ketika ia merenungkan-Nya"

Begitulah bagaimana Tuhan menguji ketetapan hati kita dengan diberikan ujian, sekalipun ia begitu berat. Setiap kejadian berlaku ada sebabnya, dan sebab-sebab itu melebihi paras pengetahuan kita. Kita cuma manusia.

Musibah itu Tanda Sayang

Daripada Anas r.a katanya telah bersabda Rasulullah SAW:

"Jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasa sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah mengkehendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakan di hari kiamat."

Nabi SAW bersabda lagi:

"Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila Dia mengasihi sesuatu kaum Dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang redha dengan kesusahan itu akan dapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah."

Setiap ujian dan musibah yang menimpa kita sebenarnya adalah cara penghapus dosa dan setiap kesabaran kita akan dibalas dengan ganjaran yang lebih baik. Malah, dalam Alkitab Injil dan ajaran Buddha juga menyatakan bahawa:

"Bersukacitalah dalam pengharapan, sabarlah dalam kesesakan dan bertekunlah dalam berdoa." [Roma 12:12]

"Jadi ketika kita disiksa, dihina, dicela, dipukul dan dimarahi, namun kita tetap sabar dan tidak membalasnya. Mengapa demikian? Kerana kita tahu bahawa kemarahan dan kebencian apabila muncul dalam hati kita tentukan akan merugikan diri kita sendiri dan orang lain."


Kematian Memberi Senyuman

Terdapat satu kisah dari seorang ahli sufi yang bernama Al Fuzail bin Iyaz. Al Fuzail dilihat tersenyum pada hari anak lelakinya meninggal dunia. Maka ditanya oleh rakan-rakannya mengapa Al Fuzail tersenyum. Lalu Al Fuzail menjawab:

"Aku menyedari bahawa Allah menghendaki agar anakku mati. Aku tersenyum kerana kehendak-Nya telah terlaksana."

Begitulah kuatnya kesabaran Al Fuzail melihat anaknya meninggal dunia. Bagi Al Fuzail, setiap apa yang ada di langit dan bumi adalah milikNya, maka Dia berhak untuk mengambil semula. Dan Al Fuzail sedar, anak yang dimilikinya itu cuma pinjaman sementara dan manusia tidak akan dapat lari dari ajal.

Adakah kita cukup tabah untuk memberi senyuman pada kematian?


Zun Nun Berkata

Betapa banyak ujian yang Allah turunkan kepada manusia; ujian nikmat, ujian kekayaan, ujian harta benda, ujian kemiskinan; ujian anak; ujian perang; ujian ilmu; ujian iman dan macam-macam lagi. Tapi setiap ujian yang terjadi, ujian kematian adalah mutakhir dan sangat menguji hati manusia kerana ia sukar bagi kita berpisah dengan orang yang kita sayang buat selama-lamanya.

Tapi, ketika ahli sufi bernama Zun Nun Al Misri yang sakit dan sedang berdepan dengan kematiannya, dia berkata; dia ingin mengenalNya walaupun sesaat. Kemudian, Zun Nun bersyair:

Takut telah meletihkan diriku,
Hasrat telah membakar diriku,
Cinta telah memperdayakanku,
Tetapi Allah telah menghidupkan aku kembali.

Sebenarnya, apa yang ahli sufi ada ialah kesabaran. Apapun yang menimpa, kecil atau besar, kita kembali semula pada hakikat bahawa kita perlukan kesabaran untuk semuanya. Sesungguhnya, detik kelahiran kita adalah ketibaan (arrival) menuju ke cabaran hidup dan detik kematian kita adalah keberangkatan (departure) dari dugaan dunia. Ke mana pun kita pergi, semuanya menempah tiket ke destinasi yang sama.


@themagi2014
ruj: Islam.gov.my| halaqah.net| Tazkirat Al-Auliya Farid Al-Din Attar| Alkitab.sabda.org| buddhaschool.com| Image credits: simonkriger.tumblr.com (1)| Image credits: the lovelyplanet.net (2)| Image credits: thedailyprayerblog.blogspot (3)| 

No comments:

Post a Comment