Saturday, 26 July 2014

Ramadhan 28: Nostalgia Puasa 90an

Selamat petang. Hari ni, 28 Ramadhan. Ikut kalendar, esok ialah hari terakhir. Bunyi mercun di tempat aku biasa2 jew (maklum la, perumahan). Malam semalam, rumah dah tukar langsir baru (FYI, langsir tahun lepas punya, tanak membazir). Rumah pun dah di 'touch-up' guna mekap Nippon Paint. Apa-apapun, raya tahun ni serba sederhana. Banyak sangat tragedi yang berlaku, kurang selera nak raya sakan. Berminggu dah entri heavy duty, so entri hari ni, santai2 jew :)



Nostalgia Puasa 90an

Raya 90an ialah Raya yang paling nostalgia. Banyak perkara yang menarik berlaku 10 hari sebelum Raya. Jalan-jalan di pekan beli kasut baru, cuba baju Raya, hidu bau biskut dari dapur mak, terawih dan tadarus ngan member satu kem (aku duduk di kem polis PGA dulu). Tapi ada beberapa kenangan yang aku tak dapat lupa dan aku tak rasa perkara tu akan berulang lagi.

1. Bunga Api Lidi

Dulu, masa kecik2, bapak aku sekali-sekala beli bunga api yang colourful tu. Bapak aku beli tak banyak jadi rasa nak bermain tu tak puas. Jadi bila dengar kawan2 cerita main bunga api dari puasa pertama sampai malam raya, tipulah aku tak cemburu. Tapi aku tak pernah terhegeh nak mintak bapak aku beli. Jadi, aku dalam keadaan agak terdesak campur kreatif, aku copet penyapu lidi mak aku dan aku bakar hujung lidi tu. Kemudian, aku pusing lidi tu laju2 dan cahaya terbakar dari lidi tu pun beralun-alun, terasa macam main bunga api. Esok, aku kena marah ngan mak sebab buat sampah depan rumah.

2. Pasang pelita

Dulu, masa kecik2, kawasan rumah kami di kem agak besar jadi kami ada banyak pelita dipasang kat keliling rumah. Orang Sarawak panggil pelita ni tuntong. Malam kemuncak pasang pelita ni masa malam 27 Ramadhan, mak kata malam 7 likur. Jadi, setiap kali menjelang 11 malam, aku dan adik beradik aku akan gaduh siapa yang pergi amek pelita tu. Sebabnya? Malam 7 likur, kata orang tua-tua, hantu dah keluar. Pernah sekali, aku pergi amek pelita tu sampai ke hujung rumah, aku lari pecut naik tangga sebab aku nampak sesuatu kat longkang besar. Rupa-rupanya, khayalan aku je. Cet.

3. Malam 7 Likur

Malam 7 likur ni memang mempengaruhi zaman kanak-kanak aku. Macam2 cerita yang aku dengar dari mulut orang. Kisah hantu pocong matematik, tetamu misteri, kenalan baru, kisah di asrama. Tapi ada satu kisah masa aku dalam perjalanan pergi terawih. Kebetulan dua2 kakak aku datang bulan jadi, diorang bergilir temankan aku pergi ke surau. Bila kakak pertama aku yang hantar aku ke surau (kitorang jalan kaki), ada banyak katak kat tepi jalan. Kata kakak aku, banyak sangat 'ranjau' sepanjang jalan. Dan bila kakak kedua aku yang hantar aku, sekor katak pun tak ada. Diorang hantar aku secara bergilir-gilir dan FYI, kakak aku yang pertama tu geli katak. Memang dugaan (baca lagi Nostalgia Malam 7 Lekor

4. Jilat bekas kuih

Masa kecik2 dulu, mak aku suka buat kuih (kek lapis, biskut, apa saja yang berkaitan dengan kuih). Bau kuih terbakar dalam oven kukus semerbak sampai keluar dari tingkap. Jadi, aku selalu berdiri di tepi pintu dapur yang tertutup dan berharap ada saki baki adunan kuih yang melekat kat bekas kuih. Bila dapat sikit peluang, aku akan hulurkan jari dan cubit sedikit adunan dan masukkan ke dalam mulut. Tapi bila peluang tu besar (yakni mak bagi aku bekas kuih tu) aku akan jilat bekas tu sampai bersinar, macam baru lepas cuci dengan Sunlight.

5. Godaan air paip

Umumnya, puasa tu memang membuatkan kita rasa dahaga. Aku tak tahu, masa kecik2 dulu, godaan air paip tu terasa luar biasa. Aku bayangkan air mangga, air sirap, air oren, air berkarbonat, dan segala macam air yang sedap2 keluar dari paip. Padahal, paip yang aku nampak tu paip untuk amek air wuduk. Lama2 tengok paip tu, boleh sasau aku dibuatnya. Itulah dia, zaman jahiliyah aku.

6. Kalendar puasa

Masa kecik2 dulu, aku akan kerat kotak (atau kulit buku) dan kemudian aku tempel kertas putih. Lepas tu aku akan buat 30 petak, aku lukis benda2 merapu seperti cawan, kartun, ketupat dan bahagian atas aku tulis- kalendar bulan puasa. Bila tamat puasa hari pertama, aku akan tandakan petak pertama, dan begitu sampai habis puasa. Sekarang, aku tak buat kalendar macam tu lagi, aku pakai phone je. Dan, aku cuma tanda hari2 perempuan aku je, hahaha.

Setakat itu je lah yang aku dapat masukkan dalam entri. Nak tulis semua tak muat. Lagipun, mak dah panggil suh keluar dari bilik yang panas macam oven. Memerap je kerja aku, tak lama lagi masak jadi kuih. Okay, masa untuk logout. Sekian~

p/s: macam mana dengan kenangan korang?

@themagi2014
image credits: bazilahabuhassa.blogspot.com

No comments:

Post a Comment