Friday, 4 July 2014

Ramadhan 6: Jumaat Pertama

credits: mselim3.blogspot
Hari ini, Ramadhan 6 dan Jumaat pertama dalam bulan puasa. Esok, genaplah seminggu berpuasa. Sebelum ni bercadang nak post entri pasal neraka tapi hari ni hari penuh barokah gitew, postpone dulu la tajuk neraka. Jadi hari ni, tukar tajuk entri, Jumaat Pertama

Jumaat: Kemuliaan dan Fadilat

Hari Jumaat hari yang penuh berkat. Peristiwa agung banyak berlaku pada hari Jumaat. Seperti yang korang sudah sedia maklum, peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa,; Nabi Yusuf dan Zulaikha; Nabi Musa dan Shafura; Rasulullah SAW dan Khadijah; Rasulullah SAW dan Siti Aisyah; serta Ali bin Abi Talib dan Fatimah AzZahara

Selain dari itu Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga."

Menurut Hadis riwayat Muslim, "Pada Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya."

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda lagi: "Hari yang dijanjikan ialah hari Kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat."

Terdapat banyak kebaikan dalam hari Jumaat, lebih-lebih lagi Jumaat pertama dalam bulan Ramadhan yang patut dimanfaatkan dengan sebaiknya. Menurut hadis riwayat Tirmizi, berdoa pada hari Jumaat sangat afdal dan Allah SWT memakbulkan setiap doa-doa yang baik dan doa-doa yang memohon perlindungan dari kejahatan. Baginda SAW juga bersabda bagi sesiapa yang hadir pada solat Jumaat iaitu:

1. Solat Jumaat saat pertama: berkorban seekor unta
2. Solat Jumaat saat kedua: berkorban seekor lembu
3. Solat Jumaat saat ketiga: berkorban seekor qibas
4. Solat Jumaat saat keempat: memberi hadiah seekor ibu ayam
5. Solat Jumaat saat kelima: seolah-olah memberi hadiah sebiji telur

Jumaat: Penghulu Segala Hari

Jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat Islam, Sabtu merupakan hari sabat (sabbath) bagi penganut Judaisme dan Ahad merupakan hari suci bagi penganut Kristian. Sedikit penerangan mengenai hari Jumaat, Sabtu dan Ahad:

  • Hari Jumaat dikenali sebagai penghulu segala hari kerana hari Jumaat Nabi Adam a.s, manusia pertama dicipta oleh Allah SWT dan pada hari Jumaat Nabi Adam a.s dikeluarkan dari syurga dan turun ke dunia bersama Hawa. Hari Jumaat juga hari berlakunya Kiamat, hari umat Islam diselamatkan dari api neraka dan hari keberkatan dalam berdoa. Segala kebaikan dan keberkatan ada di dalam hari Jumaat.
  • Hari Sabtu dikenali sebagai hari Sabat/Shabat/Sabbath bagi penganut Judaisme kerana menurut kitab percayaan mereka iaitu Torah, perintah ke-4 dari 10 Perintah Tuhan, hari Sabtu merupakan hari Tuhan 'beristirehat' seketika. Dari perkataan Sabat itu muncul konsep cuti sabatikal. Hari Sabat diraikan selepas terbenam matahari pada hari Jumaat sehinggalah tibanya malam pada hari Sabtu.
  • Hari Ahad dikenali sebagai hari suci wajib bagi penganut Kristian dan juga dikenali sebagai Hari Ahad Easter kerana menurut kepercayaan mereka, Jesus bangkit semula pada hari Ahad. Selain dari itu, hari Ahad menjadi hari suci kerana pada hari itulah Tuhan selesai menciptakan alam semesta.

Maka, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

"Kita adalah umat yang terakhir, tetapi kita umat yang lebih dahulu pada hari kiamat nanti. Kerana setiap umat diberikan kitab sebelum kita sedangkan kita diberi kitab sesudah mereka. Kemudian, hari ini (hari Jumaat) hari yang ditentukan oleh Allah SWT kepada kita, Allah telah memberikan petunjuk kepada kita pada hari tersebut, maka umat lain akan mengikuti kita, besok (hari Sabtu) umat Yahudi dan lusa (hari Ahad) umat Kristian."

Kemuliaan yang ada pada hari Jumaat meletakkan ia sebagai penghulu segala hari dan Abu Hurairah r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Jumaat dinamakan sebagai Sayyidul Ayyam iaitu Penghulu segala Hari (hari yang sebaik hari)" kerana terdapat banyak ganjaran yang perlu direbut dan dimanfaatkan oleh umat Islam.

Ganjaran Hari Jumaat, antaranya ialah:

  • Meninggal dunia pada hari Jumaat, terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
  • Membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, Allah SWT dan para malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam.
  • Membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, Allah SWT menerangi hidupnya antara 2 Jumaat.
  • Membaca surah Yasin pada malam Jumaat, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kecil.
  • Mandi pada hari Jumaat, seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
  • Mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnta, Allah SWT mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
  • Berdoa dengan seikhlas hati pada hari Jumaat, mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.
  • Setiap kebaikan yang dilakukan pada hari Jumaat, pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT.


Pada Jumaat pertama Ramadhan kali ini, mudah-mudahan kita peroleh kebaikan dan rahmat. Wallahu'alam.

@themagi2014
ruj: Risalah SMKTAHO Jul/2004, Wikipedia, Facebook|Rahsia Malam & Hari Jumaat, MaGi|Luv Islam dan Keberkatan Setiap Hari

No comments:

Post a Comment