Salam Rabu, 25 Ramadhan. Malam ni ialah malam ganjil, banyakkan amalan kita dengan mengaji dan perkara-perkara sunat. Lebih banyak amalan exra, lagi bagus. Sebut pasal extra, aku berjaya memecut selepas tertinggal 4 hari mengaji dan sekarang aku berada pada juzuk ke-26. Dan melalui tafsir, surah Ad-Dukhan ada menyebut tentang bidadari yang bermata bundar. Aku terus tertarik tentang perkara ni jadi hari ini, entri berkenaan dengan bidadari.
Kewujudan Bidadari
Bidadari ialah ciptaan Allah SWT yang tinggal di syurga dan kewujudan mereka tidak sama dengan wanita-wanita yang diciptakan di dunia. Kecantikan bidadari syurga tidak dapat binasa, mereka diciptakan dengan sifat paling sempurna, dengan sifat sopan santun serta tidak pernah digauli oleh jin mahupun manusia. Bidadari akan menjadi isteri orang-orang beriman di akhirat kelak. Bidadari dikenali sebagai Huurin Ainin, Huurin 'Iin, Al-Huur, Haura dan juga Houris- semuanya membawa maksud yang sama iaitu gadis perawan yang cantik, putih bersih dan bermata bundar.
Beberapa ciri-ciri bidadari disebut dalam beberapa surah di dalam Al Quran iaitu:
- Bidadari wujud dengan fizikal gadis perawan dan disebut sebagai wanita syurga (surah Al Waqiah 35-37)
- Sifat bidadari itu diibaratkan seperti permata yakut dan marjan (surah Ar-Rahman 55-58)
- Bidadari memiliki rupa paras yang cantik dan akhlak yang baik (surah Ar-Rahman 70)
- Bidadari tampil dengan jelita, putih bersih dan bak terlindung di dalam rumah (surah Ar-Rahman 72)
- Kecantikan bidadari sangat luar biasa, mereka memiliki mata yang jeli, lebar dan berbinar iaitu bundar (surah Ad-Dukhan 54)
- Kecantikan mata bidadari bak jeli dan seakan-akan telur burung unta yang tersimpan dengan baik (surah Ash-Shafat 48-49)
Beberapa kitab tafsir dan sarjana Islam menyebut tambahan ciri-ciri bidadari iaitu:
- Usia bidadari adalah sebaya, mereka tidak melalui proses kelahiran dan dikatakan usia mereka ialah 33 tahun, kemuncak usia matang bagi wanita muda. Para bidadari sentiasa sepakat, tidak pernah bersedih dan jiwa mereka sentiasa bahagia (Tafsir Al-Karimir Rahman)
- Sifat perawan jelas pada diri bidadari iaitu melalui bentuk payudara mereka yang padat, tegak dan tidak terkulai jatuh (Tafsir Ibni Katsir)
- Bidadari hanya memandang suaminya sahaja dan selebihnya ia lebih suka menundukkan pandangan (Ibnu Abbas, Tafsir Ibni Katsir)
- Mereka ibarat mutiara yang tersimpan. Malah rumah mereka dari mutiara. Mereka menjaga kehormatan diri dan tubuh mereka bersih serta indah dengan kulit yang bagus (Tafsir Al-Karimir Rahman, Ibnu Abbas, Mujahid, Zaid bin Aslam, Qatadah, As-Suddi, Tafsir Ibnu Katsir)
- Bidadari penuh dengan sifat cinta dan kasih sayang, mereka tidak ada hasrat yang lain (Tafsir Al-Karimir Rahman)
- Bidadari tidak pernah disentuh oleh mana-mana tangan (Tafsir Ibni Katsir)
Gambaran Bidadari yang Lain-lain
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang kecantikan fizikal yang dimiliki oleh para bidadari di syurga iaitu:
"Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dnegan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua orang isteri, di mana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada yang membujang." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keterangan melalui hadis di atas ialah ahli syurga dapat melihat sumsum tulang betisnya bagi menunjukkan betapa cantik dan bersinarnya para bidadari malah mereka berbau harum semerbak, bersuara merdu dan tidak memakai jilbab. Jilbab hanya untuk wanita di dunia. Tercatat satu hadis sahih musnad dari Imam Ahmad yang menyebut bahawa ketika para wanita syurga yakni para bidadari tersenyum, maka timbullah kilat di langit.
Wujud para bidadari ini melalui petikan ayat dari surah Al-Waqiah menyatakan bidadari dicipta secara langsung, makna ayat ini tidak dijelaskan dengan lanjut. Para ulama bersepakat bahawa bidadari diciptakan daripada za'faran iaitu safron. Abu Nu'aim meriwayatkan dari Anas r.a:
"Andai seorang bidadari meludah di 7 samudera, nescaya seluruh samudera itu akan tawar, kerana manisnya mulut bidadari, kerana bidadari diciptakan dari za'faran."
Menurut Ibnu Qayyim pula:
"Kalau wanita dunia yang terbuat dari tanah saja kecantikannya sudah sedemikian memukau, bagaimana dengan bidadari yang diciptakan dari za'faran? Tidak terbayang keelokan rupa paras dan bentuknya."
Kekeliruan mengenai Bidadari
Terdapat persoalan atau kekeliruan, jika lelaki mendapat bidadari di syurga, bagaimana dengan perempuan? Secara lojik, kaum Adam dicipta dengan tabiat yang unik iaitu sukakan wanita yang cantik. Maka Allah SWT menawarkan wanita syurga kepada kaum Adam agar mereka berlumba-lumba beribadah, beramal soleh dan mengerjakan segala kebaikan demi mendapat ganjaran sempurna di akhirat kelak.
Bagi wanita pula, secara lojiknya perempuan yang baik ada perasaan malu. Kaum Hawa mempunyai tabiat suka memendam perasaan jika benar-benar sukakan sesuatu. Maka Allah SWT tidak memotivasikan kaum Hawa dengan ganjaran mereka di akhirat kelak. Kaum Hawa (suaminya masuk neraka atau perempuan itu tidak berkahwin), mereka juga akan diberikan pasangan yang lebih baik, sesuai dengan mereka kerana di syurga, semuanya hidup berpasangan. Malah kaum Hawa diberikan kelebihan untuk kembali muda, kekal perawan, tidak haid dan cantik buat selama-lamanya.
Terdapat anggapan bahawa bidadari mempunyai sayap. Menurut Islam, hanya malaikat saja yang bersayap malah kewujudan bahan sayap para malaikat pula dikategorikan sebagai ghaib. Yang bersayap dan menjadi utusan cuma malaikat, bidadari hanya ditugaskan duduk di dalam khemah, tidak keluar ke mana-mana dan tidak bercakap mahupun bersentuhan dengan apa saja sehingga menjelangnya akhirat. Di akhirat kelak barulah bidadari hidup bersama dengan suami mereka.
Perbandingan antara Wanita dunia dan Wanita Syurga
Memang jelas bidadari dicipta dengan segala keindahan. Manusia pula diciptakan dengan sebaik-baik rupa. Ummu Salamah r.a pernah bertanya dengan Nabi SAW berkenaan dengan wanita dunia dan bidadari, yang manakah lebih utama? Nabi SAW bersabda, wanita di dunia lebih utama atas beberapa perkara iaitu:
- kerana solat, puasa dan ibadah wanita dunia kepada Allah SWT.
- kesabaran menempuh dugaan dan godaan dunia.
- dan sesungguhnya wanita dunia lebih utama dari bidadari bermata jeli, seperti kelebihan yang nampak daripada apa yang tidak nampak (zahir mendahului batin)
Bagi golongan wanita dan isteri di dunia yang menjaga kehormatan diri dan menunaikan perintahNya, kecantikan mereka jauh melebihi bidadari sekalipun bidadari diberikan segala keindahan. Ibnu Qayyim pernah berkata bahawa wanita dunia mendapat keutamaan kerana:
- Para bidadari tidak pernah mengalami kesulitan yang dialami oleh wanita dunia.
- Para bidadari tidak pernah berjuang di jalan Allah SWT.
- Para bidadari tidak pernah dicemuh kerana memakai hijab.
- Para bidadari tidak pernah merasai sulitnya patuh pada suami.
Dalam Islam menyatakan bahawa wanita yang taat pada suami, menjaga diri dan menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya akan menjadi ketua kepada para bidadari di syurga.
p/s: okey, curious berkenaan dengan bidadari pun terjawab, sedikit sebanyak :)
@themagi2014
ruj: Shirotolmustaqim.wordpress| id.wikipedia/wiki/bidadari| lampuislam.blogspot| islamqa.info| kisahislami.com| mediaislam.net| bersamadakwah.com|image credits: fineartamerica.com