Thursday, 25 October 2012

Pengertian Aidil Adha

10 Zulhijjah merupakan tarikh untuk perayaan Hari Raya Haji atau juga dikenali sebagai Hari Raya Aidil Adha. Pada hari tersebut, haiwan ternakan (Al-An 'am) ditumbangkan dan daging sembelihan disedekahkan kepada orang ramai. Namun, di sebalik kegembiraan berkumpul dan bergembira dengan keluarga, adalah lebih baik untuk kita mengimbas sedikit pengertian Aidil Adha sebagai peringatan; kisah pengorbanan seorang bapa kepada Allah swt.

Hari Raya Aidil Adha disambut di seluruh dunia, perayaan terbesar bagi umat Islam selain Hari Raya Aidil Fitri yang jatuh pada 1 Syawal. Aidil Adha disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun, bermula dengan takbir Raya pada malam 10 Zulhijjah, diikuti oleh solat sunat Aidil Adha pada sebelah pagi dan khutbah lalu diteruskan dengan ibadah korban. Pada 10,11, 12, dan 13 Zulhijjah, hari tersebut dikenali sebagai Hari Tasyrik (yang bermaksud Hari Makan Minum), hari yang diharamkan untuk berpuasa.


Kisah di sebalik Aidil Adha ini bermula dengan mimpi Nabi Ibrahim as (juga dikenali sebagai Abraham bagi orang Kristian) yang memerintahkan Nabi Ibrahim as supaya menyembelih anaknya yang bernama Ismail (atau Ishmael). Kemudian, Nabi Ibrahim as memberitahu pada isterinya, Siti Hajar mengenai mimpi tersebut. Pada sangkaan Siti Hajar (disebut sebagai Hagar dalam kitab Injil), mimpi itu hanya mainan tidur tapi ternyata mimpi itu merupakan wahyu dari Allah swt dan Nabi Ibrahim as menerimanya dengan penuh kerelaan.

Walau bagaimanapun, orang ramai menyangka Nabi Ibrahim as sudah gila kerana sanggup menyembelih puteranya sendiri. Pada hari yang dijanjikan, Nabi Ibrahim as dan anaknya tiba ke sebuah bukit, dan cuba diganggu oleh syaitan yang menyerupai seperti manusia. Di situ, Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as melontar batu bagi menghalau hasutan syaitan (yang akhirnya menjadi sebahagian daripada ibadah haji iaitu ibadah melontar ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah). Setelah berjaya melepaskan diri dari gangguan syaitan, Nabi Ibrahim as menjalankan tugasnya dengan penuh keredhaan. Namun, putera Nabi Ibrahim as akhirnya digantikan dengan seekor qibas dan mereka mengucapkan syukur kepada Allah swt di atas rahmat dan kasih sayangNya.


Maka, pengertian pengorbanan yang sebenar adalah; kasih sayang kita terhadap Pencipta haruslah melebihi kasih terhadap makhluk.

Pengertian Aidil Adha

  • Pada 10 Zulhijjah, Adam dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah di luar kota Mekah (juga menjadi sebahagian daripada ibadah haji)
  • Berdasarkan hadis terjemahan, amalan yang lebih disukai oleh Allah swt terhadap anak-anak Adam ialah melakukan ibadat korban.
  • Pada hari raya Aidil Adha, disunatkan memakai pakaian yang cantik, bersih serta memakai wangi-wangian. Menurut hadis riwayat Muslim,  "Sesungguhnya Allah swt itu Maha Indah dan menyukai keindahan."
  • Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas ra yang bermaksud, 'Rasulullah saw telah datang ke Madinah sedangkan mereka sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah saw bertanya, "Hari apakah yang dua hari ini?" Mereka menjawab; kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah. Kemudian, Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah swt telah menggantikan dua hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha."
  • Ibadat korban menjadi satu kewajipan kepada umat Islam sebagai peringatan kepada kesanggupan Nabi Ibrahim as mengorbankan anaknya sendiri untuk Allah swt yang kemudiannya digantikan kepada qibas (atau juga disebut sebagai domba).

Hari Raya Aidil Adha berdasarkan kalendar Hijrah

1433: 26 Oktober 2012 (tahun ini)
1434: 15 Oktober 2013
1435: 4 Oktober 2014
1436: 23 September 2015
1437: 11 September 2016
1438: 01 September 2017
1439: 21 Ogos 2018
1440:11 Ogos 2019
1441: 31 Julai 2020
1442: 20 Julai 2021
1443: 09 Julai 2022


Rujukan:


[p/s: Salam Aidil Adha untuk para pembaca. Semoga Aidil Adha pada tahun ini bermakna untuk anda semua]

No comments:

Post a Comment